Nilai kemanusiaan kian terhakis

Gejala buang bayi bukti remaja longgar pegangan agama

PEMBUANGAN bayi bukan lagi kes bermusim, sebaliknya kegiatan itu semakin berleluasa tanpa ada rasa sifat belas kasihan dan perikemanusiaan. Dalam tempoh selang beberapa minggu lalu saja sekurang-kurangnya empat kes buang bayi dilaporkan.

Kejadian terkini, mayat bayi lelaki baru dilahirkan lengkap tali pusat, cukup sifat ditemui dalam keadaan mengerikan, hampir
rentung serta kakinya terpisah dalam tong sampah Majlis Daerah Kuala Krai di Jalan Tengku Zainal Abidin, Sabtu lalu.






Seminggu sebelum itu, mayat seorang bayi perempuan baru dilahirkan dihurungi semut ditemui terdampar di pintu pagar Masjid Permatang, Duyong, Melaka selain mayat seorang bayi

perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah.

Secara purata, statistik menunjukkan sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007 manakala sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008.

Justeru, pembuangan bayi bukan lagi dianggap kes terpencil, sebaliknya angka yang dicatatkan menggambarkan masalah berkenaan semakin membimbangkan dan ini menggambarkan wujudnya kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial di kalangan masyarakat yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.
Apabila ada kes pembuangan bayi, ia turut memperlihatkan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tahap keimanan seseorang itu semakin tipis, seakan tidak tahu hukum dosa dan pahala. Jerih payah sepanjang sembilan bulan mengandungkan bayi itu juga seperti tidak dirasainya. Berdasarkan laporan, kebanyakan gejala pembuangan bayi ini membabitkan belia dan remaja termasuk di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi serta sekolah menengah.

Nada kekesalan terhadap pemasalahan pembuangan bayi mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu belia, terutama wanita supaya tidak bersikap terburu-buru dalam melakukan sebarang tindakan termasuk membuang bayi yang dikandung tanpa memikirkan akibatnya.

Rosmah yang kesal dan sedih dengan peningkatan kes yang semakin ketara sejak kebelakangan ini menyifatkan tindakan terbabit sebagai kejam.

Keterlanjuran hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan yang lahir daripada pergaulan bebas, hiburan melampau, persekitaran institusi kekeluargaan tidak kondusif, tiada kawalan diri, longgar pegangan agama dan pengaruh televisyen serta internet menyumbang kepada permasalahan itu menjadi semakin parah.
Pensyarah Psikologi Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor menyifatkan gejala pembuangan bayi tidak lagi dianggap jenayah bermusim kerana setiap saat sebenarnya, di seluruh dunia ada saja kes itu dilaporkan.

Di negara kita, kejadian itu semakin menular terutama remaja dan belia di negara ini yang terdedah kepada banyak sumber yang merangsang mereka untuk membuang bayi dengan mudah tanpa rasa bersalah.

Dunia tanpa sempadan dengan kemudahan berkomunikasi dan melayari internet membuka seluas-luasnya pergaulan mereka, berbeza pada zaman dulu yang remaja tidak mengenal apa itu teknologi.

Malah, ada kalangan remaja yang belajar mengenai seks juga menerusi internet, selain daripada banyak filem lucah dan drama yang mengamit mereka untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu tanpa berfikir kesan jangka pendek dan panjang.

Mariani berkata, keadaan bertambah parah apabila kurang pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak.

"Suasana dan keharmonian institusi keluarga serta pegangan agama yang longgar memburukkan lagi keadaan. Remaja sudah hilang nilai moral dan sahsiah diri sehingga sanggup buat apa saja sama ada berzina sehingga lahir anak luar nikah. Akibat takut kepada ibu bapa mereka bertindak membuang anak. Tidak mustahil ada kes pelajar yang bersalin di dalam tandas sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dan guru.

"Ada juga kes ibu bapa tahu anak mereka melahirkan anak luar nikah, tetapi dipaksa membuangnya di tempat lain atau dibunuh kerana tidak mahu menanggung malu dengan perbuatan anaknya. Sikap mementingkan diri sendiri ini membuatkan mereka hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup membuang bayi," katanya.

Senario masyarakat sekarang juga yang gemar menjaga tepi kain serta menyisih, mengeji, menyisih dan menyindir mereka yang berkelakuan sumbang turut mengundang wanita membuang anak di merata tempat.

Mariani berkata, mereka yang membuang anak itu juga seakan sudah tertanam di fikiran, sekiranya buang anak pasti akan ada orang yang akan mengambil atau menjaganya.

"Di Malaysia, jika ada sesiapa yang menemui anak baru lahir yang dibuang, akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, rumah perlindungan atau hospital. Fikiran sebegini menjadikan mereka dengan mudah melakukannya tanpa rasa bersalah.

"Justeru, masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, bukan lagi berfikiran ortodoks bahawa anak luar nikah itu patut disisih dan jika dibuang ada yang akan mengambilnya," katanya.

Sudah tiba masanya, pihak berkuasa lebih tegas dari segi penguatkuasaan terhadap mereka yang membuang anak termasuk bapa kepada bayi itu dengan dihadapkan ke mahkamah, selain meminda Akta Kanak-Kanak 2001 mengena hukuman berat kepada pesalah bagi membendung masalah itu.

Mariani berkata, jika di negara Barat, ibu bapa akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya mereka didapati membuang anak, sebagai langkah membendung kegiatan dan mengapa tidak dilakukan perkara sama di negara ini.

Thursday, February 18, 2010 by Azreen
Categories: | 1 comment

One Comment

  1. satu perkataan paling sesuai untuk pembuang2 bayi ni
    B.O.D.O.H!!!!!!!!!!!!!!

Leave a Reply