Anggota polis berani naik pangkat

Khalid bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada Maisarah Kassim di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam. Gambar kecil, Lans Koperal Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan.

 
Kota Bharu: Seorang anggota polis yang cuba memberkas penjenayah walaupun selepas ditembak di dada, dinaikkan ke pangkat koperal.

Lans Koperal Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, yang disifatkan bertindak berani dalam kejadian berhampiran Balai Polis Paloh kira-kira jam 1 pagi semalam, menerima penghargaan Polis Diraja Malaysia itu berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata keberanian Lans Koperal Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, (kanan) yang hampir menggadai nyawanya dalam kejadian itu, sangat membanggakan.



Sekatan jalan raya

Dalam kejadian berhampiran Balai Polis Paloh itu, Mohd Samsul bersama empat anggota sedang melakukan sekatan jalan raya selepas menerima laporan kejadian samun yang membabitkan kehilangan dua kereta dan wang tunai.

Khalid berkata, dua kereta BMW dan Honda Accord cuba membuat pusingan U apabila menyedari ada sekatan jalan raya sebelum BMW itu terbabas dan Mohd Samsul serta beberapa anggota menghampiri kereta berkenaan untuk memberkas suspek.

“Ketika anggota polis cuba menghampiri BMW itu, penjenayah melepaskan beberapa das tembakan dan satu daripadanya mengenai dada Mohd Samsul sebelum suspek melarikan diri dengan Honda Accord.


Kejar suspek

“Walaupun cedera ditembak di dada kanan, Mohd Samsul tetap mengejar suspek sebelum rebah. Kami sedang mengesan penjenayah terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

“Keberanian Mohd Samsul yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun itu amat dihargai dan dia dinaikkan pangkat Koperal serta merta,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Isteri mangsa, Maisarah Kassim, 27, berkata, dia menyedari kejadian menimpa suaminya kira-kira jam 1.45 pagi, selepas dihubungi seorang anggota.

Thursday, November 15, 2012 by Azreen
Categories: | Leave a comment

Leave a Reply